Friday 30 December 2011

tokoh akademik

Menyingkap 1001 Rahsia Kejayaan Nik Nur Madihah

KEMISKINAN DAN KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG MERAIH KEJAYAAN :
Satu hal yang menarik untuk dikongsi bersama di sini ialah tentang KEJAYAAN NIK NUR MADIHAH pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu yang mendapat keputusan CEMERLANG dan PELAJAR TERBAIK SPM 2008 yang diumumkan dengan mendapat 20A. Apakah rahsia kejayaan beliau?
Kejayaan Nik Nur Madihah menarik perhatian semua pihak. Ana difahamkan ramai wartawan pergi ke rumah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk menemuramah beliau. Ekoran daripada itu, kalam ini juga terpanggil untuk berbicara tentang rahsia kejayaan beliau.
Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Bagi beliau, kemiskinan dan kekurangan bukan penghalang meraih kejayaan. Malah kemiskinan, kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan kedua ibu bapanya.
Beliau adalah anak sulung daripada empat adik beradik. Ayah dan ibu beliau bukannya orang berada. Ibu bekerja sebagai tukang sapu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan ayahnya pula bekerja sebagai nelayan.
Apa yang menariknya, adik Nik Nur Madihah tidak menganggap dirinya genius, malah waktu belajarnya juga tidak menentu. Beliau juga tidak mengikuti kelas tambahan, belajar juga tak ada jadual. Tetapi kata beliau, “Saya belajar bila terasa nak belajar tanpa terpaksa atau dipaksa.” Itulah rahsia kejayaan beliau.
Rumahnya pula tak semewah rumah orang lain. Ayahnya menyewa dengan RM90 sebulan. Ruang untuk belajar juga adalah terhad. Malah tidak ada bilik khusus sebagai tempat beliau mentalaah pelajaran. Ruang tamulah menjadi tempat beliau mengulangkaji pelajaran setiap hari.
Anak sulung daripada empat beradik dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa ini bercita-cita meneruskan pengajian ke Timur Tengah dengan mendalami ilmu fizik. Moga-moga Allah SWT mempermudahkan segala urusan beliau.
Justeru itu, jadilah kejayaan adik Nik Nur Madihah pada hari ini sebagai dorongan untuk anda untuk memulakan langkah pertama untuk meraih kejayaan pada hari esok. Jangan jadikan kemiskinan, kesukaran dan kekurangan diri dan keluarga menjadi alasan dan penghalang untuk anda mencipta kejayaan. KALAU ORANG LAIN BOLEH BERJAYA, KENAPA ANDA TAK BOLEH ? Tanyalah diri anda pasti anda mengetahui jawapannya.

Sunday 11 December 2011

ToKoH AkaDemiK



Nur Amalina Che Bakri adalah merupakan anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan seorang guru dan bapanya Che Bakri seorang jurutera DBKL. Beliau mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2004 dengan memperoleh 17A1. Nur Amalina berjaya mendapat A1 dalam 17 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Teras, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris Teknologi, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan. Beliau bercita-cita untuk menjadi pakar perbidanan dan sakit puan
   
Beliau belajar dan mengulangkaji pelajaran melalui televisyen dan internet. Beliau meminati program-program realiti televisyen seperti siri Fear Factor, The Apprentice, National Geographic dan Discovery Channel kerana beliau sukakan sesuatu yang mencabar dan menjadi inspirasi kepada beliau. Beliau sentiasa melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dalam pelbagai perkara serta mempunyai kenalan sendiri dari pelajar luar negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat.

    Beliau mendapat pendidikan awal di Tadika Farley’s Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu (darjah 1), Sekolah Kebangsaan Taman Suria, Johor Bharu (darjah 2-4), Sekolah Kebangsaan Taman Daya, Johor Bharu (darjah 5) dan Sekolah Kebangsaan Ulu Tiram (darjah 6). Beliau pernah menyertai 50 pertandingan seperti sayembara puisi dan lagu, pidato, syarahan, bercerita, kuiz, melukis, menggubah, bersajak dan pernah dimahkotakan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2004 serta Johan Pidato Permodalan Nasional Berhad. Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Setiausaha Persatuan St. John Ambulans, Setiausaha Pasukan Rumah Kuning, Naib Bendahari Kelab Pencegah Jenayah dan Ketua Pasukan Badminton sekolah semasa beliau di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Semangat dan cita-citanya yang tinggi untuk mencapai kejayaan tidak menghalang beliau bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.

   
Kejayaan beliau dalam peperiksaan SPM 2004 juga adalah berasaskan kepada inisiatif beliau yang suka berjumpa guru untuk berbincang mengenai pelajaran serta mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya. Beliau akan melanjutkan pengajian peringkat A-Level di United Kingdom pada September 2005 dalam bidang perubatan yang amat beliau minati. Pengajian beliau akan dibiayai sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia.

   
Beliau pernah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar ke Itali anjuran American Field Service pada 5 Disember 2004 sehingga 5 Februari 2005 dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mempelajari bahasa Itali serta menjadi duta kecil Malaysia di sana. Beliau juga terpilih antara 11 penerima Anugerah Maulidur Rasul 1426 peringkat Kebangsaan dan juga merupakan Duta Akademik Berita Harian.